Tuesday, May 31, 2011

ISTIQAMAH koleksi awiebakrie azbeck

MAKSUD ISTIQAMAH

“Fastaqim kama umirta“,ayat ini telah mengubah fizikal Nabi SAW. Baginda jadi beruban dan tua, atas bebanan ayat itu.

Istiqamah… konsisten dan teguh berdiri di jalan taat, bagi yang faham akan besarnya beban untuk kekal konsisten, akan menjejak kesannya ke atas Baginda SAW. “Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…”, kata Baginda SAW dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.

Begitu sekali sukarnya untuk konsisten?

Tentu sahaja. Iman dipahat pada hati bernama QALBUN, iaitu sesuatu yang sifatnya berbolak balik. Siang beriman, malam kufur, pagi memperjuangan kebenaran, malam menjadi juara kebatilan. Hidup memperjuangkan kebaikan, mati di atas jalan kejahatan. Allah…!

Lantas memikirkan tentang Istiqamah… Baginda SAW jadi beruban… berubah fizikal dan penampilannya.

Soalnya apakah maksud istiqamah itu? Jika ia dilihat pada struktur Bahasa Arabnya, ia bermaksud terus diminta berdiri. Sesuai jugalah dengan Bahasa Melayunya yang boleh difahamkan sebagai sentiasa teguh berdiri. Atau jika di dalam Bahasa Inggerisnya, boleh juga difahamkan sebagai standing up consistently. Ada dua unsur penting pada definisi permulaan ini, iaitu berterusan dan kekal di dalam suatu keadaan, dan unsur keduanya pula ialah berdiri.. iaitu kondisi diri yang aktif lagi dinamik. Berterusan dalam keadaan sedar dan aktif terhadap suatu pegangan dan mahu pun amalan.

Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan maksud istiqamah (Fussilat : 30-32, Al-Ahqaf : 13-14), begitu juga dengan hadith Nabi SAW. Antaranya:

Daripada Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdillah r.a. katanya: Aku bertanya: Ya Rasulallah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakanlah “Aku beriman dengan Allah”, kemudian istiqamah! (Imam Muslim, al-Baihaqi dalam al-Sunan 1/76, Ahmad dalam Musnadnya 5/371, dan al-Daraqutni dalam al-Sunan 3/45

Namun keseluruhan makna yang dicadangkan tentang Istiqamah, ia menjurus kepada terus menerus (konsisten) berpegang secara aktif terhadap keseluruhan kehendak Syara’.


ISTIQAMAH MENURUT SURAH HUD

“Beruban rambut Nabi SAW?”, ulang seorang sahabat semasa mendengar penjelasan saya tentang ayat ini.

“Ya… bukanlah seperti kita hari ini yang kelihatan tua kerana putus cinta, atau dikejar Ah Long”, saya bergurau.

Oleh kerana besar sekali inti Istiqamah, maka Allah SWT tidak membiarkan tuntutannya berlegar tanpa panduan. Oleh kerana Surah Hud itu yang telah begitu mempengaruhi reaksi Nabi SAW kepada perintah Istiqamah, maka marilah kita sama-sama melihat bagaimana Surah Hud sendiri memperincikan rukun Istiqamah.

“Janganlah kamu melampau”

Konsisten terjejas apabila manusia melampau. Kerana lazimnya melampau itu natijah emosi. Emosi penting untuk membakar motif perlakuan, tetapi lazim juga bakarannya hilang kawalan.

Inilah perintah SATU dari Allah SWT sebagai kriteria pertama manusia yang beristiqamah. Jangan melampau. Keterangan-keterangan al-Quran sering menyertakan perbuatan melampau ini dengan fasad. Melampau punca kerosakan. Sifat melampau (taghut) itu dirujukkan kepada kaum ‘Aad dan Thamud, Firaun dan Qarun, bahawa melampau mereka itulah yang mengundang kerosakan dan kebencanaan.

Bukan hanya pada soal moral dan akhlaq, malah hukum Allah pada alam juga begitu. Melampau pada makan minum, binasa badan, melampau pada meratah alam, kehidupan manusia binasa. Sifirnya mudah, melampau itu membunuh keseimbangan. Ia tidak mesra alam, kerana itu ia dicela Pemilik alam.

Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar neraca agama yang ditentukan Allah. Lantas kezaliman itu juga harus dihindarkan sejajar dengan rukun kedua Istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada golongan yang zalim. Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim.

“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”

Hasan al-Basri pernah menyebut, “telah dijadikan agama itu di antara DUA JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”

Kecenderungan pertama yang menghapuskan Istiqamah dan konsistensi, ialah pada kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Hatinya tidak menolak, malah cenderung pula dengan jiwa dan perasan, atas sebab yang pelbagai. Rasa terhutang budi, lemah pendirian, semua itu boleh sahaja menjadi puncanya.

Manakala kecenderungan kedua pula, ialah berbalik kepada makna perkataan RUKUN yang digunakan di dalam ayat itu tadi. Rukun itu adalah tempat bersandarnya sesuatu, sebagaimana struktur rumah bergantung kepada tiang yang disebut RUKUN. Maka mereka yang cenderung kepada manusia zalim itu, antaranya ialah manusia yang bergantung kepada si zalim.

Bergantung kepadanya untuk makan minum. Bergantung kepadanya untuk mengekalkan posisi. Atau apa sahaja kebergantungan yang berbalik kepada penggadaian prinsip itu tadi.

Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”.

Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!”

Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan.

Dalam sistem yang meletakkan seorang ulama itu lebih tinggi dari kabinet menteri dan Sultan, sejahteralah untuk beliau berada di dalam sistem, berperanan memimpin, memandu dan menegur perjalanan sebuah pemerintahan.

Ulama yang berani berkata benar di hadapan pemerintah, dan pemerintah yang sentiasa bersedia mendengar nasihat ulama. Maka wujudlah keseimbangan di situ. Keseimbangan yang melakar Istiqamah.


No comments:

Post a Comment